Archive | Petikan Akhbar RSS feed for this section

Jurutera Terpaut Ikan Ketutu

28 Ogo

Utusan Malaysia

Khairunnisa Sulaiman:Utusan Malaysia 22/08/2008

Kepakaran dalam bidang profesional masing-masing mendorong golongan tersebut memanfaatkan apa yang mereka miliki untuk diaplikasi dalam bidang pertanian. Ketika pertanian telah mula mendapat sambutan, golongan profesional seperti akauntan, peguam, malah jurutera sekali pun tidak mahu ketinggalan merebut peluang untuk memanfaatkan kemahiran mereka dalam bidang tersebut.

Golongan jurutera sebagai contoh, sama ada awam, mekanikal, kimia atau jentera – berpendapat mereka boleh mengaplikasikan apa yang dipelajari untuk ‘memudahkan lagi’ industri pertanian.  Contoh terdekat boleh di ambil ialah bagaimana Adrian Yeoh, berkelulusan dalam bidang kejuruteraan awam dari Universiti Central Oklahoma, Amerika Syarikat (AS), memulakan kerjaya sebagai jurutera binaan.

Beliau bagaimanapun tidak betah bertugas sebagai jurutera yang disifatkannya penuh dengan tekanan. Pada masa yang sama, Adrian berjinak-jinak dengan teknologi maklumat dengan melayari Internet atas tujuan mencari bidang-bidang lain yang boleh diceburi. Beliau tidak mengambil masa lama, sebaliknya dalam tempoh dua tahun, Adrian menjalankan kajian mengenai bidang pertanian dan komoditi termasuk akuakultur dan kelapa sawit. etelah membanding pelbagai jenis industri, hati Adrian terpaut dengan akuakultur yang menurut katanya menguntungkan dibanding dengan bidang pertanian lain.

Bidang perikanan, menurut kata Andrian, mempunyai banyak potensi memandangkan ia merupakan sumber protein utama. Mengkaji pelbagai jenis ikan air tawar yang berpotensi termasuk keli, tilapia, kelah dan ikan ketutu, Andrian meneliti lebih lanjut mengenai pemakanan, kelakuan dan pasaran setiap jenis ikan. “Menerusi pelbagai kajian yang dijalankan, saya mendapati ikan pemangsa ini lebih mudah diselenggarakan berbanding ikan lain. “Ikan pemangsa yang hanya duduk diam ini mudah diternak jika kita tahu mengenai kelakuannya,” katanya.

Beliau yang juga pengarah VCA Aquafarm Sdn. Bhd., bertanggungjawab membangunkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ikan ketutu. Kajian yang memakan masa lima tahun, membantu beliau menternak ikan ketutu dengan lebih sistematik dengan reka bentuk kolam yang sesuai untuk tumbesaran ikan. Rekaan kolam yang mengambil masa lima tahun untuk disiapkan menggunakan kolam gentian kaca yang tahan sehingga 30 tahun.

“Saya lebih gemar menggunakan gentian kaca kerana ia lebih tahan lasak dan boleh diselenggara dengan mudah jika pecah atau bocor,” katanya yang membelanjakan lebih RM1 juta bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Adrian juga mereka bentuk penapis kolam dengan 12 lapisan bagi memudahkan penternak menukar air hanya dua tahun sekali. Kolam yang sebesar empat kali lapan kaki ini boleh menampung sehingga 300 ekor ikan ketutu pada satu-satu masa. Adrian berkata, ikan ketutu cepat membesar jika mendapat pemakanan yang mencukupi.

“Bagi memudahkan ikan mendapatkan makanan yang mencukupi saya telah mendirikan ‘kondo’ bagi kediaman ikan,” katanya yang mereka bentuk kolam ternakan yang murah serta mudah alih.

‘Kondo’ yang disusun berhampiran bukan saja sebagai tempat berehat ikan ketutu tetapi juga membolehkan ikan mendapatkan makanan dengan mudah.

Ikan ketutu lebih senang berehat dalam ‘kondo’ yang disediakan dan hanya akan makan jika anak-anak ikan berhampiran dengannya. “Setiap rumah boleh memuatkan seekor atau dua ekor ikan dengan jarak antara kondo yang agak dekat. “Oleh kerana ikan ketutu adalah ikan yang pemalas, tinggal di ‘kondo’ akan memudahkannya mendapatkan makanan,” katanya. Biasanya anak-anak ikan yang berenang di sekeliling akan mudah untuk dijadikan mangsa ikan ketutu.

Disebabkan ikan ketutu tinggal di kawasan dasar lombong, tasik atau sungai yang gelap, Adrian menyediakan habitat yang lebih kurang sama. “Biasanya pada siang hari, saya akan membiarkan persekitaran agak gelap dengan menutup semua pintu dan tingkap. “Ketika itu ikan ketutu akan lebih cergas mencari makanan dan tumbesaran akan menjadi lebih cepat,” katanya. Lebih menarik Adrian berjaya mengurangkan penggunaan antibiotik pada ikan dengan menggantikannya dengan rawatan alternatif.

“Di sini saya menggunakan teknologi ultra lembayung (UV) untuk membasmi kuman sehingga 99.9 peratus,” katanya yang telah mempatenkan semua rekaannya. Berdasarkan kajian yang dijalankan, Adrian mendapati ikan ketutu merupakan antara ikan komersial yang mendapat permintaan dan harga yang tinggi.

“Saya sendiri tidak dapat memenuhi permintaan ikan ketutu di dalam negara terutama semasa Tahun Baru Cina dan musim perkahwinan yang biasanya semasa cuti sekolah. “Permintaan ikan ketutu di luar negara seperti Hong Kong, Taiwan, China manakala negara seperti Jerman, Libya dan Kanada mempunyai potensi pasaran yang besar,” katanya. Sentiasa memandang ke hadapan Adrian sedang menjalankan R&D bagi proses ternakan ikan yang menepati HACCP untuk memudahkan pengeksportan keluar negara terutama di negara-negara Eropah.

 

Maeps Buka Pada Hari Minggu: Dalam Pertimbangan

26 Ogo

Berita Harian 25/08/2008

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mempertimbangkan cadangan membuka Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini, pada hujung minggu untuk pameran dan jualan pertanian seperti penjualan baja, biji benih, buahan dan sayuran.

Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata kementerian juga meneliti cadangan supaya hotel bajet dibina di Maeps untuk kemudahan mereka yang terbabit dengan mana-mana pameran di situ selain pembinaan stesen ERL di sini,

“Kita akan menimbangkan semua perkara ini selain akan lebih aktif mempromosikan Maeps.

“Pada masa ini, kita menerima pertanyaan daripada pelbagai agensi dan syarikat yang berminat mengadakan pameran di Maeps kerana tertarik dengan kemudahan dan infrastruktur disediakan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2008, di sini, semalam.

Maeps yang membabitkan pelaburan RM250 juta menjadi lokasi Maha 2008, menyediakan pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa kepada peserta dan pengunjung pameran.

Koternak: Buka 41,000Peluang Kepada Siswazah Menganggur

24 Ogo

 Masalah pengangguran siswazah pada hari ini bukan hanya sekadar berpunca daripada peluang pekerjaan yang kurang, mahupun keputusan yang tidak memberansangkan, tetapi persoalan yang paling utama ialah sejauh mana siswazah mampu untuk berdikari sendiri mencari peluang yang terbuka luas di hadapan mata. Benar, untuk melakukan sesuatu kita perlu untuk memulakan langkah yang pertama. Kini peluang kepada 41,000 siswazah yang berminat dalam bidang penternakkan semakin cerah. KOTERNAK ataupun lebih dikenali sebagai Koperasi Penternak Dan Pengimport Ternakan Malaysia, telah membuka peluang ini kepada golongan siswazah yang menganggur, untuk menceburi bidang penternakkan.

   Situasi yang berlaku pada hari ini dalam bidang penternakkan negara Malaysia, ialah kita terlalu bergantung kepada negara luar sebagai sumber bekalan daging negara. Situasi yang lebih malang lagi pada hari ini, perkembangan pengeluaran  bidang penternakkan masih lagi di tahap yang lemah dan sering berlaku kekurangan. Jawapannya, kita terpaksa mengimport daripada negara luar sebagai usaha untuk menampung permintaan dalam negara seperti New Zealand dan Australia. Apakah kita tidak sedar? Ini merupakan satu peluang yang sangat besar buat individu yang masih lagi belum mempunyai pekerjaan. Tanggapan bahawa bidang penternakkan merupakan satu usaha yang sukar dan banyak halangan yang perlu ditempuhi sepatutnya dipadam habis-habisan buat insane yang risau dan takut kepada baying-bayang sendiri yang belum pasti berlaku ataupun tidak. Inilah yang dikatakan manusia suka meletakkan tembok halangan dalam pemikiran sendiri yang akhirnya menyebabkan sehingga kini dan seterusnya masih lagi di takuk yang lama kerana suka memberi alasan dan berfikir sehingga ke tahap yang akhirnya menyebabkan semangat menjadi lemah. Apa yang terjadi? Akhirnya, akal memakan diri sendiri. Itulah perlunya kita sebagai mahasiswa mahupun siswazah berfikir dengan menerobos sempadan diri agar semangat untuk berjuang dan berjuang sentiasa berkobar-kobar. Percayalah, segalanya akan musnah, sekiranya semangat seseorang itu lemah dan tidak berdaya.

  Kepada yang berminat dalam bidang ternakkan, ini merupakan satu peluang kepada anda, jangan lepaskan peluang ini, cubalah dan teruskanlah berjuang selagi kita masih bernafas dan mampu untuk berdiri dan melangkah. Semoga berjaya buat semua!

Berita Harian : Klik Sini

KOTERNAK:

Web Site: http://www.koternak.com/

Untuk Maklumat Lanjut:

012-3966605, 018-2083766 atau 018-205337555

Kenaf Sumber Baru Ekonomi

23 Ogo

Utusan Malaysia

BACHOK 22 Ogos – Kerajaan akan berusaha memajukan tanaman kenaf sebagai satu industri perladangan sebagaimana kelapa sawit agar menjadi satu sumber baru ekonomi yang akan memberi kekayaan dan meningkatkan kemakmuran rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin dengan pengalaman tadbir urus ladang dan penyelidikan yang panjang serta pasaran yang luas, statusnya boleh mencapai tahap sebagaimana industri kelapa sawit pada masa depan.

”Ia seperti kelapa sawit, tanaman yang dibawa masuk dari luar dan saya percaya ia akan membawa kejayaan yang sama pada masa depan dan menjadi satu sumber kemakmuran dengan pendapatan berganda untuk rakyat.

”Kita mempunyai kelebihan berkaitan penanaman pokok yang menghasilkan banyak pulangan. Kita berkebolehan dari segi untuk tadbir urus ladang yang besar, penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama di MARDI yang kuat serta punyai pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan Pengedaran Kenaf (CPCC) Symphony Advance Sdn. Bhd. (SASB) dan Penghantaran Pertama Serbuk Kenaf ke Korea di Beris Lalang, dekat sini petang ini.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin; Menteri Pertanian dan Industri Aasas Tani; Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Kewangan II, Tan Sri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Amirsham A. Aziz.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar; Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan wakil Menteri Besar Kelantan, Abdullah Mat Nawi.

Katanya lagi, penyelidikan mengenai kenaf telah dilakukan sejak 10 tahun lalu dan beliau mahukan industri ini mula digerakkan tanpa menunggu lebih banyak masa kerana pokok ini mempunyai potensi yang besar dengan pelbagai kegunaannya.

Di bawah pelan induk pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), tanah seluas 10,000 hektar akan diusahakan di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu dan ia dikenal pasti tanaman alternatif kepada lebih 10,000 penanam tembakau di pantai timur.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan upacara pertukaran dokumen perjanjian antara SASB dengan Samsung Cheil Industries Inc. dan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Mara dan SASB.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, Abdullah mahu pelbagai projek yang telah diusahakan sebagai pemangkin pembangunan ECER termasuk dipastikan kejayaannya agar benar-benar mencapai matlamatnya.

Katanya, bagi menggerakkan sektor aktiviti pertanian berskala besar yang mempunyai nilai tambah serta aplikasi teknologi moden yang tinggi ini, kerajaan melalui Lembaga Tembakau Negara dan agensi lain terus meningkatkan usaha dengan pelbagai pendekatan.